Friday, August 1, 2025

Satu Hati Dua Takdir: Bab 5

 

Bab 5:

Terungkapnya Hati dan Rahsia

Pagi yang cerah di pasar Mardiya, Puteri Sofia dan Mikail duduk bersama di bawah teduhan pohon berbuah. Udara segar dan kicauan burung menjadi saksi perbualan mereka yang semakin dekat. Sofia hanya tersenyum mendengar cicipan burung-burung yang ada di dahan pokok. Tiba-tiba,

“Sofia..” kata Mikail dengan suara lembut. “Sapu tangan itu… apa maknanya untukmu?”

Sofia terdiam, jari-jarinya bermain di tepi kain lusuh itu. Akhirnya dia bersuara dengan hati yang berat.

“Sapu tangan itu milik Fahmi… cinta pertama aku. Tapi dia sudah tiada… dia pergi kerana keluarga kami tidak merestui kami.” Mikail menatap wajah Sofia, penuh empati.

“Aku juga sedang mencari seseorang. Abang kandung aku yang hilang sejak kecil.” Lalu Mikail mengeluarkan sapu tangan yang sama. Sofia terkejut memandang Mikail.

“Kau serius? Fahmi? Fahmi itu… abangmu?” Mikail mengangguk perlahan.

“Ya. Aku baru sedar itu. Dan aku juga baru tahu, aku dah jumpa ibu angkatnya tempoh hari.” Sofia menarik nafas panjang, lalu menunduk.

“Aku tak tahu Fahmi memiliki seorang adik. Dia tak pernah cerita.”

“Kami terpisah ketika kecil. Waktu peperangan dulu. Aku diangkat oleh keluarga di raja. Bonda menemuiku ketika ayahanda keluar berburu. Abangku pula di tempatkan di Balairung Amanah. Namun khabarnya dia melarikan diri entah ke mana. Merata tempat aku mengembara mencarinya hinggalah aku akhirnya ke sini.” Puteri Sofia memandang Mikail. Barulah dia faham mengapa hatinya terpaut dengan Mikail. Rupa-rupanya mereka saling berkait.

Mikail mengerti bahasa diam yang terpancar dari pandangan mata Puteri Sofia—sebuah pengakuan yang tidak terucap, namun cukup jelas bagi hatinya membaca. Lalu, dengan segenap keberanian yang dikumpul sejak sekian lama, dia bersuara perlahan namun tegas,

“Puteri... adakah kau mencintaiku?'"

Puteri Sofia gelisah. Tak tahu mana pandangnya nak dituju. Kemudian dia berkata,

“Aku takut, Mikail. Takut sejarah akan berulang, aku tidak mahu kehilangan sesiapa lagi.”

Mikail menggenggam tangan Sofia dengan erat.

“Aku tidak akan biarkan apa-apa terjadi padamu. Kita akan hadapi semua ini bersama-sama.”

Sementara itu, di istana, Puteri Suhana semakin rapat dengan Putera Haikal. Walaupun awalnya sering bertengkar, Haikal mulai menunjukkan kesetiaan dan perhatian yang membuat Suhana mulai membuka hati.

“Haikal, kau selalu ada untukku walau aku menolak,” Suhana mengaku. Haikal tersenyum hangat.

“Kadang-kadang, cinta bermula dari persahabatan dan kesetiaan.”

No comments:

Post a Comment