Prolog:
Cinta Yang Tidak Kesampaian
Langit Arshar pada petang itu kelabu. Angin bertiup perlahan, seolah membawa khabar duka yang belum disampaikan. Di sebalik tembok tinggi istana, seorang gadis berdiri di ambang pintu biliknya, menatap jauh ke arah barat — tempat matahari hampir tenggelam.
Puteri Sofia, anakanda sulung Raja Arshar, bukan seperti puteri kebanyakan. Jiwanya merdeka, hatinya penuh belas, dan cintanya… hanya kepada seorang pemuda biasa yang tidak berdarah bangsawan.
Fahmi.
Pemuda yang pernah
menyelamatkan seekor anak rusa yang terperangkap di semak berhampiran taman
larangan istana. Sejak itu, dia dan Sofia sering bertemu secara rahsia — di
taman, di perpustakaan lama, dan kadangkala di ruang istana yang sunyi.
Walaupun bukan dari keturunan bangsawan, Fahmi memiliki sesuatu yang tiada pada
putera-putera yang pernah meminang Sofia — keikhlasan dan keberanian.
Namun cinta mereka terlarang. Keluarga diraja tidak pernah menerima lelaki biasa sebagai calon suami kepada puteri sulung negara Arshar.
“Jika kau pilih dia, kau bukan lagi
anakku.”
Itulah kata-kata Ayahanda Raja yang terngiang-ngiang di telinga Sofia hingga
kini.
Tapi Sofia tetap nekad. Mereka
merancang untuk melarikan diri — bukan demi mencabar takdir, tetapi demi
mempertahankan cinta yang tak berdosa.
Hari itu sepatutnya menjadi
hari bahagia mereka.
Fahmi membawa Sofia ke kampung
ibunya di utara, untuk memulakan hidup baru yang sederhana — jauh dari
protokol, jauh dari mata-mata istana.
Tapi takdir menulis lain.
Fahmi yang dinanti untuk hadir ke dewan perkahwinan tidak muncul tiba. Datang seorang pemuda membawa berita Fahmi meninggal dalam kemalangan. Kuda yang ditunggang Fahmi hilang kawalan ketika turun dari lereng bukit, terhempas, dan nyawanya diambil dalam sekelip mata.
“Fahmi!!” Jeritannya masih menghantui malam-malamnya.
Bonda permaisuri yang mendapat berita segera datang pada malam itu, memeluk tubuh anakandanya yang meraung tidak tentu arah. Tiada kata yang mampu memujuk. Tiada pelukan yang mampu memadamkan luka.
Sejak hari itu, Puteri Sofia
tidak pernah menerima mana-mana pinangan. Putera dari negara luar? Ditolak.
Bangsawan kaya? Dihina dengan senyuman tawar.
Cintanya terkubur bersama Fahmi.
Namun dia tidak menjadi dingin. Sebaliknya, Sofia memilih untuk mencintai rakyatnya — memberi bantuan, menjadi suara golongan miskin, dan menenangkan bayi-bayi yang kehilangan ayah dalam perang.
Tapi hatinya tetap sunyi.
Kerana dia percaya… sekali cinta sejati
hadir, tiada siapa mampu menggantikan.
Atau…
mungkin dia belum bertemu seseorang yang
cukup ikhlas…
…untuk membuka pintu hatinya semula.
