Friday, July 18, 2025

Satu Hati Dua Takdir: Bab 3

 

Bab 3: 
Dendam Lama

“Kenapa dengan engkau ni haa? Cubalah jadi seperti kakakmu. Kakakmu juga tahu bermain pedang, memanah dan menunggang kuda. Dia sama lasak dengan kamu. Tapi dia tetap tahu asas seorang puteri. Tahu memasak dan menjahit. Kamu hanya buat masalah saja..” bebelan permaisuri masih terngiang-ngiang di telinganya.

Hatinya tak pernah aman memikirkan kasih sayang ayahanda dan bondanya yang tidak sama. Semuanya melebihkan kakaknya. Itu membuatkan dirinya rasa sangat cemburu. Difikirannya kakaknya akan terus dingin mengingati kejadian tahun lalu, namun sangkaannya meleset. Tahu pula kakaknya itu menghiburkan diri bersama rakyat jelata. Hatinya makin sakit melihat kakaknya masih mampu mengukir senyuman. Hatinya masih belum puas. Itulah Puteri Suhana. Dia perlu mencari helah lagi untuk menyakiti kakaknya itu.

Matanya terlihat pada satu sosok tubuh yang sangat dikenali. Puteri Suhana mencebik sambil mempercepatkan langkahnya ke taman istana. Hatinya masih panas. Sekali lagi wajah lelaki yang paling dia malas nak jumpa muncul pagi itu — Putera Haikal. Putera Haikal adalah anak saudara permaisuri. Dia membesar bersama dengan puteri Sofia dan Suhana sejak kematian ayah dan bondanya dalam peperangan dahulu. Dia sendiri tidak sedar bila hatinya mula terpaut pada si puteri yang lantang bersuara itu.

“Dia ni takde tempat lain ke nak duduk? Asyik-asyik terserempak!” gumamnya perlahan sambil memeluk lengan.

“Puteri Suhana,” tegur satu suara di belakangnya. Suhana menggenggam kain bajunya kuat-kuat. Huuh!!

“Ya, apa lagi kali ni?” Suhana berpaling dengan nada yang agak kasar.

Putera Haikal berdiri dengan tenang.

“Saya tak berniat mengganggu. Tapi permaisuri menitahkan saya menyampaikan undangan makan malam di balai utama malam ini.”

Suhana berpura-pura ketawa.

“Undangan? Undangan daripada siapa sebenarnya — permaisuri, atau hati tuan sendiri?”

Haikal hanya tersenyum. Dia dah terbiasa dengan sinisnya Suhana. Dan entah kenapa, dia tak pernah terasa hati. Malah makin nak kenal gadis keras kepala ini.

“Saya tak pandai jawab soalan berbunga,” balas Haikal perlahan, “tapi saya jujur. Kalau saya ingin bertemu puteri, saya akan cakap terus terang. Tapi hari ini saya cuma sampaikan pesan.”

Suhana menjeling. Dia hendak berkata sesuatu, namun sejurus itu terdengar jeritan dari arah sebalik taman. Seorang dayang tergesa-gesa berlari ke arah mereka.

“Puteri Suhana! Ampun, ada yang berlaku di sayap kiri istana! Duli Raja murka, semua keluarga diraja diminta berkumpul segera!”

Haikal dan Suhana saling berpandangan. Tanpa berlengah, mereka berdua berlari ke arah balai utama.

Thursday, July 10, 2025

Satu Hati Dua Takdir: Bab 2

 Bab 2:

Pertemuan Tak Dirancang

Beberapa hari telah berlalu sejak kejadian di pasar itu, namun wajah gadis berkuda itu kekal menghuni fikiran Mikail. Suaranya tak didengar, namanya tak dikenal, tetapi caranya menjinakkan kuda — dan tatapan matanya yang tenang — seolah telah mengunci hatinya tanpa izin.

“Puteri Sofia..” dia berbicara sendiri. Baru dia tahu gadis itu adalah puteri raja di Arshar.

Mikail menumpang tinggal di rumah seorang tukang kayu tua yang murah hati. Setiap hari, dia membantu di bengkel, memperbaiki kerusi dan membelah kayu. Namun pada waktu petang, dia sering merayau di pinggir istana — konon untuk melihat suasana, tapi sebenarnya… menaruh harapan akan terlihat semula gadis itu.

Dan pada suatu petang yang mendung, doanya termakbul.

Dari celah-celah pokok di ladang berhampiran, Mikail melihat seorang wanita sedang membantu seorang ibu tua mengangkat baldi air. Senyumannya lembut, dan anak-anak kecil di sekelilingnya ketawa riang.

“Itu dia…” bisik Mikail perlahan. “Tapi… dia bukan orang istana?”

Dia mendekati perlahan, menyandar pada sebatang pokok. Dari jauh dia memerhati — tidak mahu mengganggu. Namun langkahnya terhenti apabila wanita itu berpaling dan pandangan mereka bertaut sekali lagi.

Puteri Sofia berpakaian seperti orang biasa. Itulah caranya mendekati rakyatnya.

Namun Sofia tidak menunjukkan sebarang reaksi. Hatinya bergetar, namun wajahnya tetap tenang. Dia mengangguk sopan, lalu meneruskan kerjanya bersama rakyat jelata. Mikail cuba mendekat.

“Tuan puteri,” tegurnya perlahan, tanpa sedar gelaran itu meluncur keluar.

Sofia menoleh sedikit, namun tidak membalas. Dia berpaling dan terus melangkah ke arah kanak-kanak yang sedang bermain. Mikail tergamam.

Dia tahu aku cam dia... tapi dia tak mahu bercakap dengan aku?

Dari seorang pemuda yang yakin, tiba-tiba Mikail menjadi ragu. Dia tidak tahu — di dalam hati Sofia, badai masih belum reda. Dia tak boleh membuka hati semudah itu. Dia masih terikat dengan kenangan lalu. Dengan nama Fahmi yang tak sempat menjadi suaminya. Dan lebih dari segalanya, Sofia masih percaya — jika dia mencintai lelaki biasa lagi, takdir akan meragutnya juga.

Keesokan harinya, Mikail muncul lagi di kawasan yang sama. Tapi kali ini, dia membawa sekotak mainan kayu kecil untuk diberikan kepada kanak-kanak. Sofia nampak dari jauh, namun berpura-pura tak memerhati. Mikail bermain bersama anak-anak, ketawa dan berlakon seperti badut — hingga semua kanak-kanak memanggilnya “Abang Mikail”. Dia langsung tak cuba mendekati Sofia, hanya meletakkan diri di sekelilingnya. Dan Sofia — senyap-senyap memerhati dari jauh, cuba menafikan senyuman yang muncul di wajahnya sendiri.

Dia pelik. Dia lucu. Tapi dia baik…

Untuk pertama kali, Sofia berbisik pada dirinya…

Mungkinkah aku boleh mencintainya? Adakah sejarah hitam akan berulang kembali?

Sofia segera sedar dari lamunan yang panjang. Dengan langkah cepat, dia menaiki kudanya dan terus menunggang pulang ke istana.

Di masa yang sama, dalam diam, Mikail sering menulis surat — tapi tak pernah diberi. Dia cuma menyimpannya di dalam kotak kecil. Di dalam biliknya, di dalam laci meja yang terkunci rapat. Di situlah juga harta berharganya disimpan. Benda yang membawanya mengembara ke serata buana.

Thursday, July 3, 2025

Satu Hati Dua Takdir: Bab 1

 

Bab 1:
Lelaki Tanpa Wajah Diraja

Langit senja di negara Arshar disimbah cahaya keemasan, memantulkan bayang panjang pepohon baldu di sepanjang sempadan utara. Debu jalan berterbangan perlahan, menyambut kedatangan seorang lelaki yang berjubah kelabu, bertopi lebar, dan membawa beg galas kulit yang usang.

Dia hanya dikenali sebagai Mikail — pengembara dari jauh. Namun, yang tidak diketahui sesiapa, Mikail sebenarnya ialah Putera Faqri, waris takhta dari kerajaan Zaylan, menyamar dalam kembara rahsia untuk menilai keadaan rakyat di negeri jiran dan… mencari sesuatu yang lebih dalam: abangnya yang telah lama hilang.

“Negeri ini... lain daripada yang lain,” bisiknya perlahan sambil matanya melingas meneliti pasar yang mulai lengang.

Di kejauhan, jeritan halus dan derap kuat kaki kuda memecah keheningan. Orang ramai mula menoleh, cemas. Seekor kuda putih berlari liar tanpa kawalan, dan di atasnya — seorang gadis dalam pakaian menunggang berwarna ungu diraja cuba menahan keseimbangan. Mikail terus melompat, mengejar dengan pantas.

“Tepi! Tepi!!” jeritnya sambil menolak beberapa gerai kecil.

Namun sebelum dia sempat mendekati, gadis itu menarik tali kekang, memejamkan mata dan membisikkan sesuatu. Kuda itu serta-merta perlahan, menghentikan langkahnya… dan tunduk.

Mikail terhenti. Nafasnya masih tercungap.

“Dia jinakkan… kuda tu?” bisiknya, kagum.

Gadis itu melompat turun, mengusap lembut leher kuda, dan membisikkan lagi sesuatu. Kuda itu menggoyang kepala, manja seperti anak kecil.

Mikail hanya berdiri kaku, memandang wanita itu.

Cantik. Anggun. Tenang.

Puteri Sofia.

Tapi dia tak tahu itu. Bagi Mikail, dia hanyalah gadis luar biasa yang baru saja menyelamatkan dirinya sendiri… dan menguatkan sesuatu dalam dirinya juga — keinginan untuk mengenal lebih jauh.

Puteri Sofia pula menoleh, menyedari dirinya menjadi perhatian. Pandangannya bertembung dengan lelaki bertopi kelabu di tengah orang ramai.

Dia hanya angguk perlahan, tersenyum dan berkata,

“Kamu mahu menyelamatkan betakah? Pergilah beta selamat sekarang.” Ujarnya lalu pergi bersama kudanya.

Dan dalam sekelip mata…

dua jiwa mula tersentuh tanpa disedari.