Thursday, August 7, 2025

Satu Hati Dua Takdir: Bab 6


 Bab 6:

Cinta yang Belum Terungkap

Langit senja menyapa tanah Arshar dengan warna keemasan. Di padang latihan berhampiran rumah rakyat, Puteri Sofia meluncurkan anak panahnya tepat ke sasaran. Mikail yang menyaksikan dari jauh hanya mampu berdiri terpaku.

“Sasaran kau tak pernah meleset, Sofia,” Mikail bersuara sambil berjalan mendekat, senyuman bangga terpahat di wajahnya. Sofia berpaling, menundukkan sedikit wajahnya yang merah.

“Biasa saja… aku cuma berlatih sejak kecil.” Mikail tersenyum lebih dalam, mengangkat sebilah kayu buluh di tangannya.

“Kalau begitu, izinkan aku mencabar kau bermain pedang. Aku ingin tahu sejauh mana kecekapanmu.”

Sofia menyahut cabaran itu dengan anggukan berani. Mereka bertarung secara bersahaja, pedang kayu bersilang, tawa dan degup jantung berlagu bersama. Tidak lama kemudian, Sofia berjaya menangkis serangan Mikail dan menjatuhkan pedangnya.

“Aku kalah dengan gaya,” Mikail mengaku sambil ketawa kecil.

“Tapi kalau ini medan cinta, aku rasa aku sudah lama menyerah kalah.” Sofia tersentak, tetapi cepat mengalihkan pandangan.

“Kau suka bercakap tanpa fikir, Mikail.”

Namun dalam hati masing-masing, perasaan itu sudah lama berakar. Mereka tahu… tetapi tiada yang mahu mengaku. Takut. Risau. Terlalu banyak yang belum pasti.

Beberapa hari kemudian, suasana desa berubah. Rombongan mewah dari arah utara memasuki desa. Sofia yang ketika itu sedang memberikan ubat kepada seorang warga tua terpaku melihat kereta kuda megah berhenti di perkarangan rumah rakyat.

Mikail yang turut menyaksikan dari jauh menggenggam kain bajunya. Wajahnya berubah apabila salah seorang dari pembesar berkata lantang:

“Kami datang membawa lamaran dari Putera Faqri, putera kerajaan Zaylan… untuk Puteri Sofia dari Arshar.” Sofia terkedu. Mikail lebih kaku. Tiada siapa tahu… lamaran itu datang dari dirinya sendiri, cuma menggunakan nama sebenar—Putera Faqri, bukan 'Mikail' seperti yang dikenali Sofia.

“Puteri, keluarga diraja ingin mendapat jawapan dalam tempoh tiga hari,” ujar seorang duta yang membongkok memberi hormat. Sofia melangkah masuk ke dalam rumah rakyat dengan langkah berat. Mikail hanya mampu memerhati dari kejauhan, hatinya berperang hebat.

“Jika dia tahu aku Putera Faqri… apa dia akan terus menjauh?” fikir Mikail dalam hati.

Friday, August 1, 2025

Satu Hati Dua Takdir: Bab 5

 

Bab 5:

Terungkapnya Hati dan Rahsia

Pagi yang cerah di pasar Mardiya, Puteri Sofia dan Mikail duduk bersama di bawah teduhan pohon berbuah. Udara segar dan kicauan burung menjadi saksi perbualan mereka yang semakin dekat. Sofia hanya tersenyum mendengar cicipan burung-burung yang ada di dahan pokok. Tiba-tiba,

“Sofia..” kata Mikail dengan suara lembut. “Sapu tangan itu… apa maknanya untukmu?”

Sofia terdiam, jari-jarinya bermain di tepi kain lusuh itu. Akhirnya dia bersuara dengan hati yang berat.

“Sapu tangan itu milik Fahmi… cinta pertama aku. Tapi dia sudah tiada… dia pergi kerana keluarga kami tidak merestui kami.” Mikail menatap wajah Sofia, penuh empati.

“Aku juga sedang mencari seseorang. Abang kandung aku yang hilang sejak kecil.” Lalu Mikail mengeluarkan sapu tangan yang sama. Sofia terkejut memandang Mikail.

“Kau serius? Fahmi? Fahmi itu… abangmu?” Mikail mengangguk perlahan.

“Ya. Aku baru sedar itu. Dan aku juga baru tahu, aku dah jumpa ibu angkatnya tempoh hari.” Sofia menarik nafas panjang, lalu menunduk.

“Aku tak tahu Fahmi memiliki seorang adik. Dia tak pernah cerita.”

“Kami terpisah ketika kecil. Waktu peperangan dulu. Aku diangkat oleh keluarga di raja. Bonda menemuiku ketika ayahanda keluar berburu. Abangku pula di tempatkan di Balairung Amanah. Namun khabarnya dia melarikan diri entah ke mana. Merata tempat aku mengembara mencarinya hinggalah aku akhirnya ke sini.” Puteri Sofia memandang Mikail. Barulah dia faham mengapa hatinya terpaut dengan Mikail. Rupa-rupanya mereka saling berkait.

Mikail mengerti bahasa diam yang terpancar dari pandangan mata Puteri Sofia—sebuah pengakuan yang tidak terucap, namun cukup jelas bagi hatinya membaca. Lalu, dengan segenap keberanian yang dikumpul sejak sekian lama, dia bersuara perlahan namun tegas,

“Puteri... adakah kau mencintaiku?'"

Puteri Sofia gelisah. Tak tahu mana pandangnya nak dituju. Kemudian dia berkata,

“Aku takut, Mikail. Takut sejarah akan berulang, aku tidak mahu kehilangan sesiapa lagi.”

Mikail menggenggam tangan Sofia dengan erat.

“Aku tidak akan biarkan apa-apa terjadi padamu. Kita akan hadapi semua ini bersama-sama.”

Sementara itu, di istana, Puteri Suhana semakin rapat dengan Putera Haikal. Walaupun awalnya sering bertengkar, Haikal mulai menunjukkan kesetiaan dan perhatian yang membuat Suhana mulai membuka hati.

“Haikal, kau selalu ada untukku walau aku menolak,” Suhana mengaku. Haikal tersenyum hangat.

“Kadang-kadang, cinta bermula dari persahabatan dan kesetiaan.”

Satu Hati Dua Takdir: Bab 4

 

Bab 4:

Rahsia Sapu Tangan

Suasana di istana Alqara sedang tegang. Ayahanda Raja berdiri di hadapan semua ahli keluarga. Di tangan baginda tergenggam sekeping kain yang lusuh dan kotor.

Puteri Suhana sedang berdepan dengan Raja dan Permaisuri setelah diketahui mengambil sapu tangan lama milik Fahmi, cinta pertama Puteri Sofia.

Ayahanda Raja memandang Suhana tajam.

“Kenapa kau menyentuh sesuatu yang bukan milikmu? Itu peninggalan seorang rakyat biasa yang sudah mencemarkan darah diraja ini!”

Puteri Suhana cuba tenangkan diri. Tapi air mata yang jatuh bukan kerana ketakutan — tapi kerana rasa bersalah dan sesal. Dia sendiri tak sangka, tindakannya yang hanya mahu ‘mengenali siapa sebenarnya Fahmi’ membawa kepada situasi begini. Namun…Permaisuri menyentuh lengan Raja.

“Bukankah sapu tangan itu ditemui di kamar Puteri Suhana... oleh salah seorang dayang?” Dayang itu pun tampil dan berkata,

“Ampun tuanku... hamba mengemas bilik dan terjumpa kain ini disorokkan di dalam kotak perhiasan. Hamba tahu itu milik almarhum Tuan Fahmi... lalu hamba ingin serahkan kepada Puteri Sofia tetapi Raja melihatnya dahulu.”

Puteri Sofia hanya tunduk, tak menyalahkan sesiapa. Tapi jelas wajahnya berubah.

Suhana tidak tahan melihat kakaknya begitu, meskipun dia membenci namun masih ada sedikit sayang terhadap kakaknya itu.

Dia pun mengaku:

“Ia memang milik Kak Sofia. Tapi saya yang ambil tanpa izinnya. Saya... saya yang salah.”

Keberanian Suhana membuat semua terdiam. Raja tidak meneruskan hukuman, tapi menitahkan Suhana supaya tidak mencampuri urusan berkaitan Fahmi lagi. Dan ini mencipta jurang antara Suhana dan keluarganya, terutamanya bondanya. Bondanya hanya menggeleng-gelengkan kepala. Kecewa dengan tindakan Suhana yang mencuri sapu tangan milik Fahmi itu tidak mengaku sewaktu kakaknya mencari-cari setahun yang lalu. Satu-satunya peninggalan arwah yang sangat disayangi Sofia.

Haikal memerhati dari jauh. Dia sangat faham apa yang berlaku dan dia nampak jelas — Suhana yang keras, kini jadi rapuh. Dia tahu Suhana tidak begitu kejam. Dia ingin menenangkan, tapi tak berani melangkah.

Malam itu, Suhana menyendiri di taman belakang istana. Haikal datang, perlahan-lahan duduk di sebelah.

“Awak tak akan faham… pergilah tinggalkan saya sendiri…” kata Suhana, matanya memandang langit gelap. Ada air mata yang berkaca.

“Mungkin tak. Tapi kalau awak perlukan seseorang untuk dengar, saya ada.”

Suhana menghela nafas. Dan untuk pertama kali… dia tak balas dengan sindiran.

Dia hanya senyap. Dan Haikal… hanya menunggu.

Dan malam itu — tanpa mereka sedari — kebencian mula berubah wajah. Mungkin ini bukan permulaan cinta, tapi yang pasti... permulaan pengertian.

Di satu sudut rumah, Mikail sedang meneliti sekeping kain lusuh—sapu tangan yang diberikan oleh bondanya untuk mencari abang kandungnya. Dia belum tahu ada kaitan sapu tangan itu dengan Puteri Sofia.

Mikail menggenggam sapu tangan itu erat, berharap ia membawa petunjuk tentang identiti abangnya yang hilang.

Beberapa hari kemudian, Mikail secara tidak sengaja terlihat Puteri Sofia memegang sapu tangan yang sama semasa lawatan ke kampung. Hatinya terkejut.

“Bukankah itu sapu tangan... tapi kenapa Puteri Sofia ada benda itu?” ujarnya sendirian.

Mikail mula menyedari ada hubungan rahsia antara Sofia, Fahmi, dan dirinya sendiri. Perasaannya bercampur baur—terkejut, bingung, dan sedikit cemburu.