Thursday, July 10, 2025

Satu Hati Dua Takdir: Bab 2

 Bab 2:

Pertemuan Tak Dirancang

Beberapa hari telah berlalu sejak kejadian di pasar itu, namun wajah gadis berkuda itu kekal menghuni fikiran Mikail. Suaranya tak didengar, namanya tak dikenal, tetapi caranya menjinakkan kuda — dan tatapan matanya yang tenang — seolah telah mengunci hatinya tanpa izin.

“Puteri Sofia..” dia berbicara sendiri. Baru dia tahu gadis itu adalah puteri raja di Arshar.

Mikail menumpang tinggal di rumah seorang tukang kayu tua yang murah hati. Setiap hari, dia membantu di bengkel, memperbaiki kerusi dan membelah kayu. Namun pada waktu petang, dia sering merayau di pinggir istana — konon untuk melihat suasana, tapi sebenarnya… menaruh harapan akan terlihat semula gadis itu.

Dan pada suatu petang yang mendung, doanya termakbul.

Dari celah-celah pokok di ladang berhampiran, Mikail melihat seorang wanita sedang membantu seorang ibu tua mengangkat baldi air. Senyumannya lembut, dan anak-anak kecil di sekelilingnya ketawa riang.

“Itu dia…” bisik Mikail perlahan. “Tapi… dia bukan orang istana?”

Dia mendekati perlahan, menyandar pada sebatang pokok. Dari jauh dia memerhati — tidak mahu mengganggu. Namun langkahnya terhenti apabila wanita itu berpaling dan pandangan mereka bertaut sekali lagi.

Puteri Sofia berpakaian seperti orang biasa. Itulah caranya mendekati rakyatnya.

Namun Sofia tidak menunjukkan sebarang reaksi. Hatinya bergetar, namun wajahnya tetap tenang. Dia mengangguk sopan, lalu meneruskan kerjanya bersama rakyat jelata. Mikail cuba mendekat.

“Tuan puteri,” tegurnya perlahan, tanpa sedar gelaran itu meluncur keluar.

Sofia menoleh sedikit, namun tidak membalas. Dia berpaling dan terus melangkah ke arah kanak-kanak yang sedang bermain. Mikail tergamam.

Dia tahu aku cam dia... tapi dia tak mahu bercakap dengan aku?

Dari seorang pemuda yang yakin, tiba-tiba Mikail menjadi ragu. Dia tidak tahu — di dalam hati Sofia, badai masih belum reda. Dia tak boleh membuka hati semudah itu. Dia masih terikat dengan kenangan lalu. Dengan nama Fahmi yang tak sempat menjadi suaminya. Dan lebih dari segalanya, Sofia masih percaya — jika dia mencintai lelaki biasa lagi, takdir akan meragutnya juga.

Keesokan harinya, Mikail muncul lagi di kawasan yang sama. Tapi kali ini, dia membawa sekotak mainan kayu kecil untuk diberikan kepada kanak-kanak. Sofia nampak dari jauh, namun berpura-pura tak memerhati. Mikail bermain bersama anak-anak, ketawa dan berlakon seperti badut — hingga semua kanak-kanak memanggilnya “Abang Mikail”. Dia langsung tak cuba mendekati Sofia, hanya meletakkan diri di sekelilingnya. Dan Sofia — senyap-senyap memerhati dari jauh, cuba menafikan senyuman yang muncul di wajahnya sendiri.

Dia pelik. Dia lucu. Tapi dia baik…

Untuk pertama kali, Sofia berbisik pada dirinya…

Mungkinkah aku boleh mencintainya? Adakah sejarah hitam akan berulang kembali?

Sofia segera sedar dari lamunan yang panjang. Dengan langkah cepat, dia menaiki kudanya dan terus menunggang pulang ke istana.

Di masa yang sama, dalam diam, Mikail sering menulis surat — tapi tak pernah diberi. Dia cuma menyimpannya di dalam kotak kecil. Di dalam biliknya, di dalam laci meja yang terkunci rapat. Di situlah juga harta berharganya disimpan. Benda yang membawanya mengembara ke serata buana.

No comments:

Post a Comment